[Bernama.com] DOC2US bekerjasama dengan HOPE Telecare untuk perluas operasi ke Myanmar
KUALA LUMPUR, 6 Okt -- Pembekal teleperubatan Malaysia, DOC2US hari ini mengumumkan pengembangan perkhidmatannya ke Myanmar sebagai rakan teknikal HOPE Telecare bagi memacu perkembangan ekosistem perubatan digital di negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Raymond Choy berkata usaha sama tersebut adalah langkah pertama DOC2US mengembangkan teknologi tempatan serta penyelesaian penjagaan kesihatan di luar Malaysia.
“Menerusi usaha berdasarkan sistem sedia ada DOC2US yang telah terbukti dan model perniagaan berasaskan elemen ‘hyper-localised’ bersama dengan rakan kongsi, kami menyasarkan untuk melengkapkan ekosistem perubatan fizikal di Myanmar dengan meringankan lagi tugas tenaga perubatan dalam membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
HOPE Telecare merupakan platform perubatan digital semua-dalam-satu dan usaha sama antara syarikat Myanmar Blue Ocean Investment Limited, TELEMED Company Limited dan DOC2US yang dimiliki oleh Heydoc International Sdn Bhd.
Menurut Choy, susulan kejayaan pelancaran di Myanmar, pihaknya akan berbincang dengan rakan kongsi lain di negara jiran lain seperti, Kemboja, Laos dan Vietnam untuk menambahbaik akses kepada perkhidmatan kesihatan di negara-negara tersebut.
“Namun, kami akan terus menambah sumber di Malaysia bagi meningkatkan pegangan pasaran dan mewujudkan ekosistem lebih baik di Asia Tenggara bersama dengan rakan-rakan strategik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi HOPE Telecare, Htun Htun Naing menyifatkan kaedah teleperubatan sebagai langkah kemajuan penting bagi meningkatkan kualiti penjagaan di Myanmar.
Menurutnya, ini berikutan kira-kira 70 peratus daripada hampir 55 juta penduduknya masih menetap di luar bandar dan perkhidmatan doktor sukar diakses manakala kadar penembusan internet pula berkembang lebih 10 peratus setahun.